KEPALA BATAS – Kariah Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas akan melaksanakan solat jenazah ghaib di atas pemergian bekas Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas solat Zuhur hari ini.
Pengerusinya, Datuk Shariful Azhar Othman berkata, orang ramai dijemput hadir bagi menunaikan solat jenazah ghaib itu sebagai tanda penghargaan jasa yang ditaburkan Allahyarham kepada penduduk Kepala Batas khususnya.
“Dimaklumkan bahawa pelaksanaan solat jenazah ghaib ke atas Allahyarham sejurus selepas solat Zuhur hari ini, justeru orang ramai dijemput hadir bagi menunaikan solat jenazah ghaib itu.
“Warga kariah masjid berdukacita dan bersedih dengan pemergian Allahyarham kerana jasa beliau amat besar kepada masjid ini sejak turunnya legasi daripada datuk dan bapa beliau yang kemudiannya Allahyarham sendiri selaku penaung masjid ini.
“Pemergian Tun Abdullah satu kehilangan besar buat negara khususnya Kepala Batas kerana Allahyarham merupakan arkitek pembangunan kawasan ini sejak menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas sehingga menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia Kelima,” katanya di Facebook rasmi masjid berkenaan hari ini.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 7.10 malam semalam selepas mengalami masalah pernafasan.
Jenazah Allahyarham Tun Abdullah kini berada Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk penghormatan terakhir bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.
Tun Abdullah merupakan pemimpin Malaysia kelima yang akan disemadikan di bawah kubah Makam Pahlawan. – MalaysiaGazette