KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dibenar memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri telah mengemukakan permohonan tersebut kepada Jabatan Penjara hari ini.
“Pihak penjara sedang menguruskan perjalanan Najib ke Masjid Negara. Kami memohon agar perbicaraan pagi ini ditangguhkan.
“Mohon Najib dibenarkan keluar dari Mahkamah Tinggi pukul 10.15 pagi,” ujar beliau pada prosiding perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sehubungan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan hingga esok.
Muhammad Shafee turut memberitahu, anak guamnya memohon dibenarkan meninggalkan mahkamah lebih awal kerana solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin tidak membantah permohonan tersebut.
Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan saksi pembelaan ke-19 (DW19), bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada perbicaraan tersebut. – MalaysiaGazette