Logo OPEC

VIENNA – Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC)  menyemak semula unjuran pertumbuhan permintaan minyak global pada 2025 kepada 1.3 juta tong sehari (bpd), mengambil kira kesan jangkaan tarif Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan baru-baru ini.

Di negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), permintaan minyak telah disemak ke bawah dan kini dijangka meningkat hanya sekitar 40,000 bpd.

Sementara itu, permintaan di negara bukan OECD, juga tertakluk kepada semakan menurun, diramalkan berkembang hampir 1.25 juta bpd pada 2025, kata laporan pasaran minyak bulanan OPEC.

“Permintaan minyak diramalkan akan disokong oleh permintaan perjalanan udara yang kukuh dan mobiliti jalan raya yang sihat, termasuk diesel dan trak atas jalan, serta aktiviti perindustrian, pembinaan dan pertanian di negara bukan OECD,” kata OPEC.

Organisasi itu juga menurunkan tinjauannya untuk 2026, sekali lagi mengaitkan pelarasan itu kepada unjuran kesan tarif baharu AS.

Permintaan minyak global tahun depan kini dijangka meningkat kira-kira 1.3 juta bpd tahun ke tahun.

OPEC menekankan bahawa trajektori jangka pendek ekonomi global kini menghadapi ketidaktentuan yang lebih besar berikutan perkembangan berkaitan tarif ini.

Berikutan itu, OPEC mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi globalnya kepada 3.0 peratus untuk 2025 dan 3.1 peratus untuk 2026.

Unjuran untuk pertumbuhan ekonomi AS juga dikurangkan, kepada 2.1 peratus untuk 2025 dan 2.2 peratus untuk 2026.

Bagi zon euro, yang terus mengalami pertumbuhan lembap, laporan itu menurunkan sedikit ramalan pertumbuhan 2025.

Bagaimanapun, ia menyatakan langkah-langkah rangsangan fiskal dan monetari boleh membantu mengimbangi kesan negatif tarif.

Laporan itu turut mengakui China boleh terjejas dengan lebih ketara akibat pertikaian perdagangan.

Namun begitu, ia berkata ekonomi China mempunyai alat untuk mengurangkan kesannya, seperti langkah rangsangan domestik dan kepelbagaian lagi pasaran eksportnya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here