Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan seorang tokoh besar yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan Islam di Malaysia.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, salasilah keluarga membentuk Pak Lah sebagai teknokrat Islami, seorang pemimpin yang menjunjung warisan ruhani.

Ia bermula bermula datuknya, Abdullah Fahim ulama besar yang pernah menjadi Ketua Dewan Ulama Pas yang pertama serta bapanya, Ahmad Badawi yang menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas pertama.

Tambah Ahmad Fadhli, tidak hairanlah apabila allahyarham memegang tampuk pemerintahan, pendekatannya terhadap Islam bukan bersifat kosmetik atau politik semata tetapi sebagai roh yang menyerap dalam dasar dan tindakan.

Sumbangan terbesar Pak Lah memperkenalkan program J-QAF pada tahun 2005 iaitu sebuah gagasan pemulihan pendidikan Islam yang menyeluruh dan futuristik.

“Di bawah program ini, pengajaran jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain dimartabatkan kembali dalam sistem pendidikan kebangsaan, melahirkan generasi yang bukan sekadar celik huruf al-Quran tetapi menghayatinya sebagai panduan hidup.

“Inilah antara legasi teragung beliau kepada pendidikan Islam di negara ini, yang akan terus hidup dan berkembang di bawah langit Malaysia,” katanya.

Sementara gagasan Islam Hadhari yang meskipun menerima pelbagai tanggapan hakikatnya lahir daripada tekad dan kesungguhan Pak Lah untuk menjadikan Islam sebagai asas pembangunan bangsa yang progresif, bertamadun dan seimbang.

Katanya, allahyarham memperkukuh institusi Islam secara tenang tetapi tegas, dan meletakkan nilai keimanan dalam struktur pentadbiran awam.

Tambah Ahmad Fadhli, Pak Lah telah membawa nilai Islam dalam pentadbiran negara bukanlah suatu yang mustahil bahkan boleh dilaksanakan dengan pendekatan berhikmah dan bersifat menyatukan.

Allahyarham juga seorang pemimpin yang bersih daripada kontroversi, menjunjung maruah dan kesantunan dalam politik dan kehidupan peribadi.

Allahyarham semasa hidupnya juga bukan seorang yang gemar menuding jari dan bukan seorang yang membakar jambatan silaturahim.

“Beliau tidak membina kemegahan di atas kejatuhan orang lain tetapi mengangkat nilai dalam diam, membina negara dengan hikmah dan mendidik melalui contoh. Pemimpin seperti ini bukan sahaja sukar dicari bahkan amat dirindui tatkala negara kini ketandusan teladan yang luhur.

“Maka dengan rasa rendah hati dan linangan doa, kita memohon kepada Allah SWT agar allahyarham diampunkan segala dosanya, diluaskan kuburnya, dan diangkat ke darjat tertinggi di sisi-Nya.

“Semoga segala amalnya diterima, segala khidmatnya dicatat sebagai amal soleh, dan segala warisannya menjadi bukti cinta beliau kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here