KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi pemimpin Malaysia kelima yang akan disemadikan di bawah kubah Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Turut disemadikan di situ sebelum ini ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Ghafar Baba.
Kubah Makam Pahlawan ketika inu memiliki tujuh ruang.
Semalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, Abdullah akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zohor di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur,” menurut kenyataan malam tadi.
Menurut JPM, pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak serta bersongkok hitam dan lounge suit gelap bagi bukan Islam.
Pakaian bagi pelawat wanita Islam pula adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih.
“Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai,” menurut JPM. – MalaysiaGazette