KUALA LUMPUR – Pendidikan celik tulisan jawi, membaca al-Quran, belajar bahasa Arab dan fardhu ain atau J-QAF antara jasa yang ditinggalkan oleh bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Program yang diperkenalkan pada 2005 itu bagi memastikan anak-anak celik dan selesai khatam al-Quran sebelum tamat sekolah rendah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, J-QAF lahir atas isu yang dibahaskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang mendedahkan ramai anak muda dalam Program Latihan Khidmat Negara tidak boleh membaca al-Quran.
“Mengambil serius usul agama dalam PAU tersebut, Pak Lah selaku Perdana Menteri sendiri mengarahkan satu program khas diperkenalkan dengan nama J-QAF singkatan kepada pengajaran jawi, al-Quran, bahasa Arab asas dan Fardu Ain.
“Matlamatnya antara lain bagi memastikan anak-anak mulai diajar membaca dan wajib khatam al-Quran sebelum tamat darjah 6 sekolah rendah.
“Bermakna pengajian al-Quran secara sistematik diajar sebagai satu program khas dalam arus pendidikan perdana negara,” kata Asyraf Wajdi dalam perkongsian di media sosial.
Tambah beliau, seramai lebih 40,000 graduan pengajian agama, Bahasa Arab dari universiti-universiti dalam dan luar negara termasuk Mesir, Jordan, Madinah, Yaman dan lain-lain diambil sebagai guru J-QAF.
Pengambilan terbabit dibuat tanpa perlu melalui proses biasa seperti mempunyai sijil atau diploma pendidikan bagi mempercepatkan perlaksanaan program.
“Moga-moga jasa dan sumbangan besar Pak Lah akan menjadi asbab pahala jariah berpanjangan dan menempatkan almarhum di kalangan para muttaqiin. Al-Fatihah untuk kita sedekahkah buat almarhum,” katanya.- MalaysiaGazette