Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Sebanyak 493 permohonan paten yang difailkan oleh wanita pada 2024, meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Meskipun rekod Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu menunjukkan trend peningkatan, namun Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menganggap jumlahnya masih rendah.

Ujarnya, masih terdapat ruang yang perlu ditambah baik khususnya usaha untuk memperluaskan penyertaan kaum tersebut dalam bidang harta intelek, khususnya dalam kalangan inovator, pencipta dan usahawan yang belum memanfaatkan sepenuhnya sistem perlindungan harta intelek.

Justeru katanya, Seminar ‘Focus on Women: Navigating Innovation and Creativity’ yang dianjurkan perbadanan itu hari ini dilihat sebagai antara usaha memperkasakan wanita melalui kefahaman peranan harta intelek sebagai aset strategik perniagaan.

“Seminar ini menghimpunkan barisan penceramah dan panelis yang mewakili pelbagai bidang termasuk potensi inovasi dan pemerkasaan wanita melalui harta intelek,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Fuziah, seramai lebih 150 penyelidik, usahawan dan pencipta menyertai seminar tersebut dalam masa yang sama meraikan keunggulan daya cipta wanita dalam ekosistem inovasi serta landskap harta intelek negara.

Jelas beliau, penganjuran seminar berkenaan membuktikan komitmen konsisten MyIPO  memacu penyertaan wanita dalam ekosistem inovasi negara serta memanfaatkan harta intelek sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, lestari dan berdaya saing.

“MyIPO terus komited dalam usaha memperluas penyertaan wanita dalam bidang harta intelek melalui pelbagai program pembangunan kapasiti seperti bengkel kesedaran harta intelek, sesi latihan teknikal termasuk kerjasama strategik bersama agensi wanita, institusi pengajian tinggi dan pihak industri,” tambah Fuziah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here