KUANTAN – Polis menyiasat kejadian buli seorang pelajar berusia 14 tahun yang didakwa berlaku di sebuah sekolah berasrama di Bera dekat sini kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada bapa mangsa.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku, pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga telah dipanggil roll call arahan warden asrama bagi tujuan pemeriksaan bilik oleh Persatuan Jabatan Penguasa Asrama (JPA).
“Namun, suspek melibatkan lima pelajar telah mengambil alih roll call dan bertindak membuli mangsa dengan memaksa mangsa menari wadidaw iaitu tarian tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Zulkiflee berkata, mangsa juga mendakwa telah dicekik di bahagian leher oleh suspek kerana berambut panjang.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius kejadian buli di sekolah terutamanya melibatkan sekolah berasrama penuh. Polis juga akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah Bera bagi membanteras gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette