GEORGE TOWN – Pulau Pinang mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pelaburan dan inovasi teknologi utama negara apabila berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM42.76 bilion sepanjang tahun lalu.
Pencapaian hasil usaha bersama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu turut mewujudkan hampir 9,000 peluang pekerjaan baharu.
NCER dalam kenyataan berkata, momentum pelaburan ini diteruskan pada suku pertama tahun ini dengan tambahan pelaburan sebanyak RM13.3 bilion serta penciptaan 3,000 lagi peluang pekerjaan.
“Perkembangan ini turut dibincangkan dalam Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) yang berlangsung di Komtar, hari ini.
“Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.
“Dalam ucapan, Kon Yeow menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif NCER yang selaras dengan matlamat Penang2030 serta aspirasi Ekonomi MADANI,” katanya.
Sepanjang 2024, NTIC berjaya membantu merealisasikan pelaburan sebanyak RM26.8 bilion dan menyediakan lebih 900 peluang pekerjaan, manakala program NEST pula meningkatkan jualan tahunan kumulatif syarikat-syarikat tempatan sebanyak RM197 juta.
Sementara itu, Mohamad Haris berkata, NTIC yang beroperasi di Bayan Lepas dibangunkan bagi memperkukuh ekosistem industri melalui tiga komponen utama: Centre of Excellence (CoE), Advanced Technology Meister Programme (ATMP), serta Technology & Innovation (T&I). Inisiatif ini dilihat sebagai penghubung antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat multinasional dan institusi pendidikan tinggi.
“Program NEST pula terus memberi kesan positif apabila berjaya membantu 80 syarikat tempatan meningkatkan pendapatan serta mewujudkan 356 pekerjaan baharu. Program ini memberi fokus kepada aspek penjenamaan, penggunaan teknologi, dan pengurusan kewangan secara berkesan.
“NCER untuk terus menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelaburan serta hab inovasi teknologi di rantau ini.
“Kita percaya melalui kejayaan dan pelaksanaan inisiatif yang berterusan, Pulau Pinang kekal berada di landasan sebagai model pembangunan ekonomi mampan dan pusat teknologi tinggi yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER,” katanya. – MalaysiaGazette