JOHOR BAHRU – Polis menerima sebanyak 29 laporan berhubung kes seorang remaja lelaki menjual gambar lucah yang disuntingnya sendiri termasuk mangsa dalam kalangan bekas pelajar dan pelajar di sebuah sekolah di Kulai.
Polis Johor memaklumkan, setakat ini pertuduhan masih belum dibuat kerana siasatan melibatkan banyak kes.
“Setakat ini siasatan melibatkan banyak kes memandangkan terdapat banyak laporan polis ke atas suspek yang diterima pihak polis dan tiada makluman pendakwaan ke atas suspek lagi buat masa ini.
“Siasatan masih dijalankan dan tahanan reman terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun itu dipercayai dalang akan berakhir esok,” menurutnya dalam kenyataan.
Terdahulu Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting gambar lucah menggunakan wajah mangsa dan mengedarkannya dalam media sosial untuk dijual kepada orang awam.
Katanya, suspek berusia 16 tahun itu ditahanĀ bagi membantu siasatan lanjut dijalankan.
Kira-kira 40 individu termasuk pelajar sekolah menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu yang dihasilkan secara suntingan menggunakan teknologi deepfake membabitkan sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Kegiatan itu terbongkar selepas seorang mangsa iaitu alumni sekolah berkenaan mendedahkan perkara tersebut kepada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dengan menghubungi pejabatnya diikuti seorang lagi ahli keluarga kepada mangsa lain.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan terus memantau secara dekat isu pelajar menyebarkan gambar suntingan berunsur lucah melibatkan pelajar perempuan lain di semua sekolah.
Perbuatan itu ujar beliau, adalah kesalahan jenayah yang serius dan tidak seharusnya berlaku dalam kalangan pelajar.
Katanya, JPNJ akan memastikan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak disalahgunakan oleh pelajar bagi perkara yang negatif dan memudaratkan.
“Ini adalah sisi gelap AI yang menjadi kerisauan kita. Kita tak mahu pelajar ini menyalahgunakan teknologi ini. Justeru, JPNJ menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah sendiri akan memantau secara dekat isu ini supaya ia tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri Kelab Media Johor di Dewan Hassan Abdullah di Kampung Pasir malam tadi.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Aznan berkata, pihaknya turut meminta dan menasihati ibu bapa pelajar untuk memantau anak-anak mereka ketika menggunakan telefon pintar agak tidak melakukan perkara yang bukan-bukan.
“Kita berdepan kekangan kerana hanya dapat memantau perlakuan pelajar hanya pada waktu sesi persekolahan sahaja. Oleh itu, Ibu bapa juga perlu main peranan yang sama supaya memantau anak-anak mereka ketika menggunakan telefon pintar. Kita tidak mahu mereka terjebak dengan perkara yang negatif,” katanya.- MalaysiaGazette