KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki bernama Sofian Abu Bakar bagi membantu siasatan.
Menurut SPRM, alamat terakhir lelaki berusia 49 itu adalah di No 4, Jalan Sri Laguna 6/1, Taman Sri Laguna, 81200 Johor Bahru, Johor.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terlibat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sharon Aileen Anak Bidi di talian 019-8913783/084- 311982 atau email kepada [email protected],” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebagai rekod, Sofian yang sebelum ini dilaporkan merupakan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan menerima suapan berjumlah RM15,000.
Terdahulu, lelaki itu berhadapan pertuduhan pindaan utama iaitu menerima suapan RM15,000 untuk dirinya sendiri sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Lu King Kiat yang disyaki menjalankan perniagaan loteri haram.
Pertuduhan pindaan utama itu dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Kuching pada 19 Ogos tahun lalu, mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Selain itu, Sofian turut berhadapan pertuduhan pindaan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima RM15,000 daripada Lu King Kiat yang disyaki menjalankan perniagaan loteri haram – satu kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dilakukannya pada masa dan tempat sama. -MalaysiaGazette