Adik kepada Suriaini melihat dokumen laporan kesihatan dan menenangkannya di rumahnya di Taman Seri Impian, Kluang.

KLUANG – Seorang operator kilang yang menghidapi kanser payudara tahap tiga kini bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaannya tidak lagi mampu bekerja sejak lebih dua bulan lalu.

Suriaini Gani, 47, yang menyewa di Taman Seri Impian di sini sekarang cuti sakit tanpa gaji dan kerap berulang alik ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat untuk rawatan kimoterapi.

Cerita mengenai Suriaini mendapat perhatian ramai apabila tular dalam aplikasi TikTok.

Dalam kandungaan rakaman video yang tular itu seorang daripada anaknya tidak bertanya khabar atau menghubunginya dan terpaksa pergi kerja sebelum ini walaupun dalam keadaan sakit.

Menurut Suriaini, sebelum ini, hidupnya cukup untuk menyara tiga anaknya sejak 10 tahun lalu dengan pendapatan RM1,700 sebulan walaupun selepas ditinggalkan suami.

Wang itu, katanya, digunakan untuk menyara diri dan tiga anaknya termasuk membayar sewa rumah dan bil elektrik serta air.

Selepas jatuh sakit, dia banyak bercuti sehingga cuti tahunan habis digunakan dan ketika ini adiknya banyak membantu.

“Adik perempuan sayalah yang ke sana sini membantu saya menguruskan apa yang patut termasuk berulang alik dari Kluang ke HSNI di Batu Pahat untuk rawatan kimoterapi.

“Dia pun hanya bekerja sebagai tukang jahit yang tak menentu pendapatannya tetapi berusaha mencari duit untuk membantu saya termasuk soal makan minum dan ubat-ubatan.

“Anak bongsu hanya boleh membantu sedayanya manakala dua anak lelaki berusia 20 an bekerja di Johor Bahru sebagai pembuat air minuman.

“Anak lelaki saya tak mampu menjaga saya dan mereka menyerahkan sepenuhnya urusan ini kepada adik saya. Saya tak tahu nak cakap apa,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dia juga buntu memikirkan mengenai sewa rumah RM700 sebulan selain bil utiliti serta hutang pinjaman peribadi RM300 sebulan yang sudah tertangguh pembayaran dua kali.

Katanya, adiknya sudah membeli laporan perubatan daripada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini untuk tuntutan dengan Pertubuhan Keselamatan Pekerja namun perlu menunggu sebulan lagi.

“Saya berharap urusan saya dipermudahkan dan penyakit kanser boleh sembuh selain memohon doa daripada orang ramai supaya saya dapat sembuh,” katanya.

Untuk sebarang bantuan boleh menghubungi talian 011-361 96778 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Muamalat Suriaini Gani 01040017985726. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here