Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tiada campur tangan pihak atasan terhadap keputusan Peguam Negara untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak berkaitan pertuduhan menyeleweng RM2.6 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak atasan tersebut ialah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketiga-tiga pemimpin berkenaan tidak memuktamadkan sebarang keputusan untuk mendakwa Najib meskipun mereka ditaklimatkan oleh pasukan siasatan kes.

Saksi pembelaan ke-19 (DW19) itu bersetuju dengan soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bahawa keputusan untuk menuduh bekas Perdana Menteri merupakan kuasa mutlak Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Tommy Thomas.

Akram: Tiada seorang pun yang buat keputusan untuk mendakwa Najib selepas mendengar taklimat kerana ia terpulang kepada Peguam Negara.
Fuzi: Setuju.

Akram: Oleh sebab tiada keputusan dibuat oleh ketiga-tiga individu itu, saya katakan tiada unsur campur tangan dalam keputusan Peguam Negara untuk mendakwa Najib.
Fuzi: Setuju.

Dalam keterangannya, Fuzi, 65, berkata, beliau bertanggungjawab mempengerusikan beberapa mesyuarat pasukan petugas khas (PPK) kes 1MDB yang turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi polis sekitar 2017.

Ujar bekas Ketua Polis Negara itu, pasukan siasatan 1MDB selanjutnya diarah memberikan taklimat status kes kepada Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Ujar saksi, sekitar awal tahun 2015, beliau turut mendengar taklimat PPK bagi menyiasat skandal 1MDB yang dipengerusikan Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Anggota lain ketika itu ialah Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Seri Zeti Akhtar Aziz.

Ujar beliau, antara terma siasatan ialah SPRM menyiasat kemasukan wang RM42 juta dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib manakala polis menyiasat isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan polisnya.

Mahkamah kini mendengar perbicaraan kes pembelaan Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here