KUANTAN – Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipercayai menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan warga asing tanpa melalui pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direman selama tujuh hari sehingga 21 April ini
Dua suspek lelaki dan seorang suspek wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan, di sini pada jam 9 pagi.
Majistret Nor Izzati Zakarian membenarkan kesemua suspek berumur dalam lingkungan 40-an itu direman.
Mereka ditahan dalam operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilancarkan semalam di beberapa lokasi berasingan iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Johor Bahru , Johor dan Kuala Lumpur.
Difahamkan, pegawai imigresen terbabit menjadi dalang melindungi sindiket yang membawa masuk warga asing tanpa melalui prosedur pemeriksaan ketat di KLIA Terminal 1 dan KLIA terminal 2 antara 2021 hingga 2024.
Menurut sumber habuan besar yang diterima juga dipercayai telah diagihkan kepada beberapa pegawai imigresen lain bagi melicinkan urusan kemasukan warga asing.
Suruhanjaya itu turut merampas wang tunai, barang kemas, serta sedang menyemak beberapa akaun bank milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebagai dorongan atau balasan. – MalaysiaGazette