Tiga lelaki dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan permohonan reman bagi membantu siasatan kes pukul kontraktor bergelar Datuk.

BUTTERWORTH – Tiga lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mencederakan seorang kontraktor bergelar Datuk dalam kejadian di sebuah medan selera di Jalan New Ferry di sini, pada Ahad lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 30 hingga 50-an itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bermula hari ini sehingga 22 April depan.

Permohonan reman itu dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.

MalaysiaGazette difahamkan, ketiga-tiga suspek termasuk suspek utama berusia 45 tahun itu diberkas sekitar Butterworth dan Perai dekat sini antara jam 1 hingga 2 petang semalam.

Tangkapan ke atas semua ahli perniagaan itu dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 43 tahun yang merupakan seorang kontraktor di ibu negara pada Ahad lalu.

Difahamkan, punca kejadian berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek utama pada satu majlis keraian yang berlangsung di sini pada Sabtu lalu.

Rentetan insiden tersebut, suspek bersama dua lagi rakannya bertindak menyerang mangsa yang sedang makan di sebuah medan selera kira-kira jam 4 petang.

Suspek dikatakan menggunakan kerusi plastik untuk menyerang mangsa dan impak kejadian tersebut menyebabkan mangsa patah tangan kanan selain luka di muka serta mulutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here