KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis ditemukan meninggal dunia di sebuah pangsapuri di kawasan Bandar Mahkota Cheras, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada rakan mangsa yang juga seorang anggota polis.
Menurutnya, pengadu yang berusia 20 tahun dan merupakan saksi membuat laporan menyatakan dia mempercayai rakannya telah meninggal dunia dalam kediamannya.
“Hasil bantuan pihak bomba dan penyelamat, pintu rumah dibuka dan pemeriksaan mendapati jasad satu lelaki tempatan berumur 37 tahun yang juga anggota polis bertugas di Pasukan Simpanan Persekutuan, Cheras disahkan telah meninggal dunia oleh pihak perubatan Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, mayat telah telah dihantar ke Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat untuk mendapatkan punca kematian.
Katanya lagi, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan hari ini mendapati punca kematian adalah saluran jantung tersumbat.
Kes diklasifikasi sebagai siasatan kematian mengejut.
Sehubungan itu, orang ramai atau kejiranan mangsa yang mempunyai maklumat berkaitan perkara itu boleh menyalurkan maklumat ke Balai Polis Kajang atau pegawai penyiasat Sarjan Zharif Shah Ab Rashid ditalian 012-5925390 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette