KUALA LUMPUR – Media yang diberikan kebenaran untuk beroperasi oleh kerajaan sepatutnya mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi, kata pakar perundangan dan perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.
Menurut beliau, kesilapan menerbitkan Jalur Gemilang sangat bercanggah dengan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh seseorang warganegara, apatah lagi oleh sebuah organisasi media tempatan.
“Kalau bendera negara pun boleh dipesongkan daripada bentuknya, maka kesetiaan yang bagaimana kita harus percaya kepada media sebegini?” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Shamrahayu, beliau percaya sekiranya ada permohonan maaf daripada akhbar berkenaan sekali pun, ia tidak boleh dimaafkan mengambil kira dari sudut kenegaraan.
Ini kerana, ujar beliau, bendera seperti Jalur Gemilang mempunyai pengertian yang sangat besar kepada sesebuah negara termasuk Malaysia kerana ia merupakan lambang kedaulatan.
“Apabila lambang kedaulatan ini telah dipamerkan dengan salah, bagi saya ia tidak boleh dianggap sebagai kesalahan biasa yang boleh dimaafkan,” katanya.
Tambahnya, sebagai sebuah organisasi media yang mempunyai pengiktirafan dari segi kedudukan dan dianggap antara surat khabar utama negara, kesilapan menyiarkan Jalur Gemilang harus disiasat sewajarnya.
“Antara isu yang perlu disiasat adalah adakah ini merupakan satu kesilapan atau disengajakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, syarikat akhbar Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.
Dalam satu kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan `kesilapan teknikal’.
Kesilapan itu bagaimanapun mengundang kritikan dan kecaman pelbagai pihak yang menyifatkannya tidak sepatutnya berlaku, sekali gus menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak pengurusan akhbar berkenaan.
Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil wakil akbar Sin Chew Daily hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan berhubung ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tersebut. – MalaysiaGazette