Foto Facebook Dewan Ulamak Pas Pusat.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan isu tauliah calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek menyerlahkan lagi jasa beliau dalam menyampaikan risalah ilmu kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, Abd Muhaimin memiliki tauliah mengajar sejak tahun 2014 lagi sekali gus menafikan tohmahan yang dilakukan parti lawan.

“DUPP mengucapkan terima kasih kepada pihak lawan yang bersungguh-sungguh mempromosi calon PN sehinggakan tauliah yang dimiliki Ust Muhaimin ini diakui sah oleh pihak PDRM sendiri. Apakah pihak PAN telah hilang keyakinan terhadap calon daripada BN sehingga mereka sanggup mempromosi calon PN?

“Malangnya, masih ada yang alergik dengan para asatizah yang berjuang di lapangan politik sehingga mereka sanggup menggunakan apa sahaja jalan untuk menjatuhkan beliau. Semoga Ust Muhaimin terus cekal memimpin perubahan di Ayer Kuning insya-Allah,” tulisnya di hantaran Facebook rasmi DUPP di sini hari ini.

Ahmad menambah, Abd Muhaimin adalah keluaran Madrasah Tarbiah Kg Sg Gading, Tapah dan Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena sebelum melanjutkan pengajiannya di Syria.

“Ini bermaksud soal keilmuwan dan jasanya dalam menyampaikan kepada masyarakat setempat tidak lagi wajar dipersoal. Bahkan, inilah peluang kepada penduduk setempat untuk memastikan peranan dan jasa Ust Muhaimin diangkat sebagai wakil rakyat di DUN berkenaan.

“Pakej ini cukup untuk melengkapkan pilihan pengundi memilih calon No.2 dalam PRK Ayer Kuning insya-Allah,” katanya.

Semalam, Polis Perak telah merakam percakapan calon PN bagi PRK DUN Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek berhubung isu tauliah mengajar agama.

Bagaimanapun, jurucakap polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning, Senior Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, polis menyerahkan perkara itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk tindakan lanjut.

“Pihak kami tidak ada buka kertas siasatan kerana ini melibatkan tauliah dan dia sebagai calon tidak tergugat setakat ini kerana itu bukan syarat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya pada sidang media harian PRK DUN Ayer Kuning di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh Abd Muhaimin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here