JOHOR BAHRU – Seorang cikgu lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan setelah disyaki menghantar pautan lucah kepada seorang guru wanita.
Majistret Nabilah Nizam membenarkan permohonan reman selepas dimohon pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang berkuat kuasa hari ini.
Suspek yang berusia 32 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, suspek hadir ke Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap berwarna ungu kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Suspek dilihat meninggalkan mahkamah tersebut pada pukul 11.30 pagi dengan diiringi polis pengiring bersama suspek lain.
Lelaki itu ditahan semalam susulan aduan dibuat guru wanita terbabit di sebuah sekolah menengah di daerah ini yang mendedahkan tingkah laku tidak senonoh suspek tersebut.
Rakan sekerja suspek tersebut turut mendakwa pernah menyaksikan guru lelaki itu terlibat dalam tingkah laku intim dengan beberapa pelajar perempuan, selain menerima pautan lucah daripada cikgu lelaki terbabit.
Suspek tampil membela diri dengan membuat hantaran dalam akaun Facebook miliknya dengan menyatakan tindakan menghantar pautan lucah itu sebagai tidak disengajakan. – MalaysiaGazzete