Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi sambung bicara kes penyelewengan RM2.6 billion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengulangi kebimbangannya bahawa prosiding yang telah mengambil masa tujuh tahun, kemungkinan akan berlarutan lebih lama.

Datuk Collin Lawrence Sequerah menjangkakan, kes tersebut boleh diselesaikan pada Julai ini, namun kemungkinan itu tidak akan berlaku ekoran permohonan pembelaan untuk memanggil beberapa saksi luar negara.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata, pihak-pihak sepatutnya membantu menyelesaikan kes tersebut lebih cepat, namun pengurusan masa kehakiman seolah-olah tidak digunakan secara cekap.

“Saya tidak akan menunggu lebih lama sehingga semua saksi-saksi luar negara yang berpotensi jadi saksi pihak pembelaan, pulang ke negara ini.

“Mahkamah ini tidak boleh dibiarkan menunggu secara berterusan mengikut keselesaan saksi-saksi. Mereka belum dikenakan sepina kerana berada di luar negara,” ujar beliau.

Hakim Collin menyatakan demikian ketika pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Razak menyatakan pihaknya terhalang untuk mengemukakan sepina terhadap saksi-saksi yang berada di luar bidang kuasa.

Bekas Perdana Menteri sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perkara itu dibangkitkan oleh Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bahawa pembelaan belum menyerahkan sepina kepada bekas Pengarah Pelaburan 1MDB, Kelvin Tan Kay Jim yang berada di Kanada.

Terdahulu, Wan Azwan memaklumkan, pihaknya turut mengemukakan sepina kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Isnin lalu untuk memberi keterangan sebagai saksi Najib.

Menurut peguam itu, keterangan Razarudin penting berhubung siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa serta perkembangan tiga waran tangkap terhadap Jasmine Loo.

Pada peringkat itu, Hakim Collin meminta kepastian siapa lagi yang akan dipanggil oleh pihak pembelaan berkaitan Jasmine Loo dan sama ada bekas peguam 1MDB itu akan dipanggil semula memberi keterangan.

“Berapa ramai lagi saksi yang akan dipanggil selepas ini? Berkaitan Roger Ng, pihak mana yang bertanggungjawab memastikan keberadaannya melainkan ia ditempatkan dalam Program Perlindungan Saksi.

“Ini yang sama bimbang, saya tidak boleh biarkan perbicaraan berlarutan selama-lamanya, sampai masanya nanti, kes ini perlu diselesaikan,” ujar hakim berkenaan.

Menjawab persoalan itu, Wan Azwan mendakwa pihak pembelaan `disekat’ untuk mengakses saksi berpotensi melalui tindakan agensi kerajaan yang tidak responsif selain beberapa saksi yang masih berada di luar negara.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here