KOTA BHARU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengesahkan siasatan berhubung pencemaran air yang menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut di Pasir Puteh sedang giat dijalankan, dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pengarah JAS Kelantan Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata pihaknya menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada 12 April lepas dan mengambil beberapa sampel air dari titik-titik strategik untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.
“Sampel telah diambil di Sungai Rasau, berdekatan muka sauk LRA Wakaf Bunut, selain dua sampel tambahan dari alur air berhampiran kolam ikan sebelum mengalir ke Sungai Jeram Batu Hitam.
“Ujian in-situ (di tapak) turut dijalankan dan setakat ini, bacaan yang direkodkan adalah normal,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata ujian in-situ juga dilaksanakan di kawasan Jambatan Sungai Jeram Batu Hitam dan keputusan awal turut menunjukkan bacaan pada tahap normal.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan hasil analisis penuh daripada Jabatan Kimia masih belum diterima. Sehingga keputusan rasmi diperoleh, SPAN akan terus memantau situasi semasa, manakala sebarang keputusan berkaitan pengaktifan semula operasi loji berada di bawah bidang kuasa agensi itu.
“Segala tindakan berkaitan operasi loji air adalah di bawah pengawasan SPAN. JAS akan terus bekerjasama untuk memantau aktiviti di kawasan sekitar bagi memastikan tiada ancaman berulang,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar bertenang dan menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan status semasa loji dan kualiti air di kawasan terjejas.
Pada 13 April lepas, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan terdapat gangguan pada kualiti air mentah akibat pencemaran di muka sauk LRA Wakaf Bunut, yang dikesan berlaku pada 11 April lepas.
Menurut AKSB, berikutan faktor keselamatan dan keperluan untuk semakan lanjut, SPAN memutuskan supaya operasi loji dihentikan sementara waktu.
Sungai Rasau adalah aliran masuk utama ke muka sauk loji itu dan lokasi pencemaran dikesan berlaku di kawasan hulu sungai.
AKSB menjelaskan, pencemaran itu disyaki berpunca daripada racun yang digunakan di kolam ikan berhampiran, yang menyebabkan kematian ikan sebelum air mengalir ke sungai. – BERNAMA