Nur Zulfa (kanan) memeriksa dokumen warga asing yang ditahan pijaknya di sebuah tapak pembinaan kondominium di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – Cubaan licik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di tingkat 20 sebuah tapak pembinaan kondominium di sini gagal apabila mereka berjaya dikesan dan ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang hari ini.

Ops Bersepadu JIM Zon Utara melibatkan JIM Pulau Pinang, Perak dan Kedah itu bermula pukul 11 pagi dan membawa kepada tangkapan 19 PATI yang terdiri daripada 18 lelaki dan seorang wanita.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, seramai 119 individu diperiksa dalam serbuan tersebut dan hasilnya 19 daripada mereka yang berusia antara 21 hingga 45 tahun ditahan atas kesalahan tinggal melebihi masa serta tiada dokumen perjalanan yang sah.

Nur Zulfa.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.

“Rata-rata memberi alasan sedang menunggu proses pasport namun semakan mendapati tiada sebarang permohonan dibuat dalam sistem,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Tambah Nur Zulfa, meskipun hujan dan keadaan tapak berlopak, pasukan penguat kuasa tetap meneruskan pemeriksaan menyeluruh dan menemui beberapa individu yang cuba menyembunyikan diri di aras tertinggi bangunan yang belum siap itu.

“Penguat kuasa sanggup panjat bangunan setinggi 20 tingkat itu kerana tidak mahu ada PATI yang terlepas.

Sekumpulan PATI bersembunyi di tingkat 20 bangunan berkenaan elak dicekup pihak JIM.

“Operasi berjalan lancar dengan kerjasama penuh daripada pihak majikan yang membenarkan pemeriksaan dilakukan di seluruh kawasan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast