KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) membantah permohonan peguam Datuk Seri Najib Razak untuk memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi keterangan dalam kes penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Ilmami Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, sepina diserahkan kepada Razarudin Isnin lalu namun tidak menyertakan alasan mengapa beliau perlu hadir sebagai saksi pembelaan dalam kes itu.

Sehubungan itu, beliau yang juga penasihat undang-undang KDN memohon tempoh untuk menyediakan hujahan bagi membantah permohonan tersebut.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 5 Mei ini bagi mendengar permohonan KDN dan hujahan pihak pembelaan.
Perkara itu dibangkitkan ketika mahkamah mula bersidang mendengar perbicaraan terhadap Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Sementara itu, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, pihak pembelaan perlu mendapatkan keterangan Ketua Polis Negara untuk membolehkan mereka menemubual bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.
Ujar beliau, pasukan pembelaan telah membuat beberapa percubaan untuk menjejaki Roger Ng selepas Razarudin mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung keberadaan lelaki itu.
Laporan Berita Harian pada 10 Disember tahun lalu menyatakan, Razarudin mengesahkan Roger Ng ditangkap pada 9 Oktober 2023 dan siasatan masih dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) berkaitan skandal 1MDB.
Menurut Wan Azwan, pasukan pembelaan telah menulis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan polis bagi memohon proses temu bualĀ Roger Ng dipercepatkan.
Katanya, setakat ini, pembelaan hanya menerima maklum balas dari AGC manakala SPRM menyatakan Roger Ng bukan di bawah bidang kuasa mereka, sebaliknya di bawah kawalan polis.
“Namun tiada jawapan dari Ketua Polis Negara meskipun beliau telah mengeluarkan beberapa kenyataan media berhubung Roger Ng.
“Kami ada banyak sebab untuk panggil Ketua Polis Negara antaranya termasuk perkembangan tiga waran tangkap terhadap Jasmine Loo,” ujar Wan Azwan.
Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette