KUALA LUMPUR – Dua rakaman video sidang media oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu ‘kutty’ dimain semula di Mahkamah Tinggi ketika prosiding komital pada hari ini.
Ia susulan permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku defendan yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu menghina mahkamah kerana tidak menghormati dan mengganggu-gugat sistem keadilan negara ketika sidang media tersebut.
Kedua-dua video sidang media Dr Mahathir pada Disember tahun lalu yang ditayangkan semula itu adalah daripada MalaysiaGazette dan KiniTivi.
Ketika sidang media berkenaan, Dr Mahathir di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menyatakan rasa terkilannya dengan ucapan Ahmad Zahid yang memberi gambaran beliau merupakan seorang penipu dan berasal dari tempat lain.
Selepas melihat sendiri video tersebut Hakim Gan Techiong memutuskan untuk memberi peluang pihak defendan dan plaintif membuat keputusan bagi tindakan selanjutnya.
Ketika ditemui, peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihaknya dan defendan telah memberi hujah masing-masing pada hari ini ketika prosiding pendengaran sebentar tadi.
“Saya perlu jelaskan kepada semua pihak sebab semua bertanya mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini dia tidak perlu hadir kerana bukan sambung bicara.
“Sambung bicara kes ini telah ditetapkan jauh lebih awal iaitu 14,15, 20 hingga 22 Mei. (Terkini) 14 Mei dilapangkan (untuk perbicaraan) diganti untuk pendengaran permohonan hari ini, kemudian 15 Mei sekiranya semuanya okay akan sambung bicara,” jelasnya.
Sementara itu hakim, Gan Techiong menetapkan 14 Mei untuk kedua-dua pihak membuat keputusan terhadap tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid pada 7 Januari lalu mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Mahathir.
Prosiding tersebut berkaitan tindakan Dr Mahathir yang mengadakan sidang akhbar pada 5 Disember tahun lepas di lobi mahkamah dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan beliau selepas memberi keterangan dalam samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu “kutty”.
Untuk rekod, Dr Mahathir, 99, selaku plaintif menyaman Ahmad Zahid, 72, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau berhubung isu ‘kutty’.-MalaysiaGazette