KUALA LUMPUR – Siasatan polis berhubung video tular melibatkan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil yang dikaitkan dengan unsur diskriminasi kaum merupakan hasil daripada lakonan tugasan pelajar bagi subjek Contemporary Global and Legal Issues.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tugasan tersebut dibuat berkaitan Klux Klux Klan (KKK).
“Dalam paparan video itu terdapat lakonan semula apa yang berlaku suatu masa dahulu di mana orang kulit putih telah membunuh orang kulit hitam dan apabila tercetusnya KKK ini maka satu undang-undnag baru bagi menghalang diskriminasi kaum telah dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, video tersebut telah mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen selepas dimuat naik oleh salah seorang pelajar, sehingga menimbulkan kegusaran awam dan dakwaan bersifat perkauman.
Norhizam berkata, kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis selepas menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 7.24 petang, semalam.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi berita yang tidak benar dan boleh membawa kegusaran awam.
Sementara itu, UiTM dalam kenyataan semalam menjelaskan penggunaan pakaian menyerupai kostum tertentu oleh sekumpulan pelajar di Kampus Dengkil baru-baru ini adalah sebagai sebahagian daripada tugasan akademik.
Ia adalah tugasan oleh pelajar Pusat Asasi UiTM bagi sesi pembentangan kursus `Contemporary Global and Legal Issues’.
Katanya, tugasan berkenaan bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
“Dalam sesi tersebut, pelajar memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang juga antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
“Kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
“Pendekatan visual yang digunakan adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas, selaras dengan objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” kata UiTM dalam kenyataan tersebut.
Bahkan, pensyarah dan pihak fakulti yang bertanggungjawab turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal dan berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya mahupun perkauman.
“Untuk makluman, tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung,” katanya.
UiTM turut menegaskan pihaknya sentiasa menitikberatkan nilai sejagat seperti toleransi, hormat-menghormati dan kepekaan antara budaya dalam semuaaktiviti akademik dan kokurikulum.
Malah, UiTM meminta semua pihak menilai insiden seperti ini dalam kerangka akademik dan tidak menafsirkannya di luar konteks asal, selaras dengan semangat pendidikan inklusif dan dinamik yang menjadi tunjang pengajian tinggi negara. – MalaysiaGazette