Iklan komersil pada dinding tren yang didakwa ada unsur sensitiviti perkauman.

KUALA LUMPUR – Pengendali dan operator rangkaian rel dan bas di Lembah Klang Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menurunkan iklan komersil pada dinding tren yang didakwa terdapat unsur sensitiviti perkauman.

Syarikat itu berkata, pihaknya mengambil iktibar atas maklum balas pengguna terhadap visual iklan pada salah sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling.

Tindakan segera diambil dengan memperketatkan proses semakan bagi memastikan visual daripada pengiklan tidak akan menimbulkan isu sensitif kepada orang ramai.

“Kandungan visual iklan tersebut yang mempromosikan produk penjagaan diri turut menggambarkan pelbagai situasi harian yang melibatkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang menggunakan pengangkutan awam.

“la bertujuan untuk memaparkan kepentingan penggunaan produk penjagaan diri dan tidak menyasarkan mana-mana individu atau komuniti tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, iklan terbabit telah melalui proses termasuk semakan oleh pihak dalaman dan luaran merangkumi aspek-aspek seperti sensitiviti kaum, agama dan sosial sebelum visual itu dicetak dan dipaparkan.

Prasarana berkata, pihaknya menghargai maklum balas dan pandangan masyarakat terutamanya apabila ia boleh disalah tafsir sebagai suatu bentuk sasaran kepada kepada individu atau komuniti tertentu.

“Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan keprihatinan orang ramai yang berterusan terhadap penggunaan pengangkutan awam,” jelasnya.

Sebelum itu tular visual iklan pada tren yang antara lain memaparkan ilustrasi dua orang lelaki iaitu seorang daripadanya berkulit gelap dan ada tanda putih pada dahi sedang duduk.

Sementara seorang lelaki berkulit cerah dengan pada bahagian bertanda gelap dan ada aura berwarna hijau keluar dari badannnya sedang berdiri.

Di tengah-tengah kedua-dua lelaki itu terdapat dua ikon sedang memegang hidung sambil berkata ‘busuknya’.

Pengguna Facebook dengan akuan bernama Arun Dorasamy mendakwa iklan itu menyasarkan individu beragama Hindu.

“Adakah hanya saya atau adakah iklan ini menggambarkan diskriminasi kaum dan agama yang jelas?

“Pada masa lalu, orang menggunakan warna kulit untuk stereotaip dan meminggirkan. Kini nampaknya mereka telah beralih kepada menggunakan simbol keagamaan—seperti abu suci atau tanda di dahi—untuk melakukan perkara yang sama. Adakah kita sepatutnya mengabaikan mesej halus lagi berbahaya ini?” soalnya lagi.

Bagaimanapun ada pengikutnya menjelaskan iklan itu tidak menyasarkan lelaki berkulit gelap terbabit sebagai busuk sebaliknya lelaki yang berkulit cerah kerana bahagian ketiaknya sedang basah dengan peluh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here