Khairin-Nisa Ismail. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Seramai 1,240 anak yatim dan yatim piatu yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 dibantu menerusi Program Anak Angkat Makmur Johor (AMJ) sehingga Disember tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, Johor Bahru paling ramai berdaftar bawah program berkenaan berjumlah 448 orang.

Jelasnya, ini diikuti Kulai (129), Muar (126), Batu Pahat (103), Kota Tinggi (99), Tangkak (92), Kluang (84), Pontian (78), Segamat (64) dan Mersing (17).

“Program ini mensasarkan 1,200 anak yatim atau yatim piatu yang kematian ibu atau ayah atau kedua-duanya atau penjaga akibat jangkitan Covid-19 di seluruh Johor.

“Sasaran ini dengan mengambil kira anggaran mereka yang tidak menyambung pelajaran, akan bekerja dan telah melebihi umur 21 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, program itu diharapkan dapat membantu meringankan beban dan tanggungan khususnya menampung kos perbelanjaan serta pendidikan dalam jangka masa pendek dan panjang.

Selain itu ujarnya, program berkenaan juga dapat mengurangkan keresahan waris dan keluarga tentang masa depan pendidikan khususnya anak yatim piatu terbabit.

Beliau memberitahu, di Johor sehingga Januari lalu, sebanyak 414,441 jumlah kes kumulatif Covid-19 direkodkan berbanding 405, 595 kes pada 6 Januari 2024.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 4,770 kes kematian di seluruh Johor berbanding 4,767 kes kematian pada 6 Januari 2024.

“Ini menunjukkan ada pertambahan sebanyak 8,846 kes Covid-19 dan sebanyak tiga kes kematian telah direkodkan di seluruh negeri Johor sepanjang tempoh tersebut.

“Data ini menunjukkan walaupun Covid-19 telah mencapai fasa endemik, tetapi masih ada lagi kes kematian akibat virus ini. Oleh itu program AMJ wajar diteruskan lagi bagi menyantuni anak-anak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast