KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Muafakat Nasional, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menempelak Datuk Dr Puad Zakarshi berkaitan kenyataannya baru-baru ini.
Katanya, Puad sepatutnya cermin mukanya sendiri sebelum menegur Tun M.
“Puad Zarkashi boleh jadi ‘barua’ untuk memperkasakan DAP dan menjadi ahli UMDAP tetapi dalam masa yang sama beliau kena muhasabah diri.
“Kalau hendak dibandingkan Puad Zarkashi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat diibaratkan seperti ‘bumi dan langit.’ Lebih baik Puad Zarkashi duduk diam-diam sebagai ahli UMDAP dan terus menjadi ‘barua’ pada DAP untuk mengkhianati bangsanya, agamanya serta negaranya,” katanya menerusi kenyataan.
Puad yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO hari ini menyifatkan kenyataan Dr Mahathir bahawa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi lambang kepimpinan berhemah dan matang dan wajar dicontohi memang tepat.
Katanya lagi, Abdullah atau Pak Lah ‘akur bila didesak letak jawatan’.
Menurut Puad, Pak Lah tidak ada masalah letak jawatan sampai UMNO perlu diharamkan.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, Dr Mahathir bukan hanya sanggup hilang apa saja jawatan demi melawan salahlaku malah amat konsisten dalam perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.
Terdahulu, Dr Mahathir menganggap Allahyarham Abdullah sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan berprinsip apabila menyerahkan jawatan Perdana Menteri tanpa sebarang pertikaian selepas prestasi Barisan Nasional merosot dalam Pilihan Raya Umum ke-12. – MalaysiaGazette