KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bertindak segera susulan kesilapan akhbar Sin Chew Daily menerbitkan Jalur Gemilang yang salah bagi mengelak isu terbabit menjadi kontroversi yang lebih parah.
Apatah lagi, menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, isu itu kini menjadi pertikaian dalam kalangan pelbagai pihak yang menjurus kepada sentimen 3R (agama, kaum dan raja).
Ujarnya, tindakan tegas dan segera itu juga dilihat sebagai satu bentuk keadilan mengambil kira pendekatan sama yang diambil pihak berkuasa dalam beberapa kes sebelum ini seperti melibatkan penyampai radio Era; binaan kuil haram dan pencerobohan tanah haram.
“Walaupun akhbar berkenaan sudah memohon maaf dan mengakui ia kesilapan teknikal, tetapi isu ini sudah pun menimbulkan kegelisahan serta keresahan dalam kalangan rakyat.
“Maka, kerajaan perlu bertindak segera terhadap akhbar berkenaan bagi meredakan kegelisahan dan keresahan rakyat itu, lebih-lebih lagi kesilapan yang dikatakan tidak disengajakan itu sukar diterima.
“Perkara ini sama ada disengajakan atau tidak, menunjukkan sesiapa pun yang bertanggungjawab tidak mempunyai jati diri sebagai rakyat dan pengamal media Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Siraj, apa yang lebih dikesalkan apabila kesilapan gambar Jalur Gemilang itu dilakukan oleh akhbar tempatan ketika berlangsungnya lawatan negara oleh pemimpin utama China.
Ia katanya, boleh menimbulkan persepsi dan spekulasi yang boleh menjurus kepada elemen perkauman yang sudah sedia tegang susulan beberapa kejadian berkait kesalahan 3R sebelum ini.
Sehubungan itu, ujar beliau, pihak pengurusan akhbar berkenaan khususnya barisan editornya perlu mengambil tanggungjawab lebih besar atas kesalahan mereka, bukan sekadar hanya memohon maaf.
“Pihak berkuasa perlu memandang serius kesalahan ini kerana ia juga berkait dengan isu perkauman, berita palsu serta kedaulatan negara dan kita tidak mahu isu ini terus berpanjangan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, syarikat akhbar Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.
Dalam satu kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan “kesilapan teknikal”.
Ia berkata, versi digital ilustrasi itu telah dipinda serta-merta, dan versi yang dipinda akan diterbitkan semula hari ini dalam cetakan. – MalaysiaGazette