KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan pihaknya telah memanggil wakil media Kwong Wah Yit Poh berhubung laporan berkaitan gambar bendera Malaysia tidak lengkap sifatnya yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi organisasi media tersebut hari ini.
MCMC berkata, siasatan terhadap kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) khususnya Seksyen 233 memandangkan kesalahan adalah melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan sekiranya perlu dan berkaitan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ia menjadikan dua akhbar cetakan berbahasa Mandarin telah dipanggil pihak berkuasa di mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil memanggil pihak Sin Chew Daily bagi tujuan siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu semalam.
KDN dalam satu kenyataan berkata, surat tunjuk sebab juga telah diserahkan pada sesi berkenaan oleh pihak akhbar terbabit.
Awal hari ini, pendakwah bebas, Firdaus Wong memuatnaik hantaran di Facebook beliau berhubung satu isu Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
“Semalam Sin Chew Daily terbitkan Jalur Gemilang tanpa bulan kemudian meminta maaf. Hari ini, Kwong Wah Yit Poh pula. Barangkali skrin kita kecil tak cukup besar untuk nampak bulan di Jalur Gemilang,” tulisnya di Facebook.
Dalam kenyataan sama, MCMC turut memberi amaran tegas kepada semua pihak, sama ada organisasi media mahu pun orang awam, agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang bersifat mempersendakan atau menampilkan bendera Malaysia dalam keadaan tidak lengkap sifatnya.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini. MCMC komited untuk memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan,” katanya lagi.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah bendera adalah lambang kedaulatan negara yang tidak boleh dipersendakan.
Menerusi satu kenyataan, Seri Paduka Baginda menegaskan bendera adalah identiti sesebuah negara dan bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah, pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Akhbar Sin Chew Daily semalam menerbitkan ilustrasi muka depan jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara itu.
Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai bulan sabit.
Dalam permohonan maaf yang diterbitkan semalam, Sin Chew memohon maaf atas ‘kesilapan teknikal’ tersebut. – MalaysiaGazette
Ramai yang saran untuk tarik balik kerakyatan untuk kedua2 orang no.1 suratkhabar tersebut.
Mertabatkanlah keluhuran undang2!