KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga individu termasuk pengurusan tertinggi sebuah badan berkanun milik kerajaan kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan kerja penyelenggaraan sungai di sebuah daerah yang terletak di Kedah.
Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan kira-kira pukul 6 petang Isnin lalu ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Kedah.
Susulan penahanan itu, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar semalam dan perintah reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 17 April 2025 telah dikeluarkan oleh Majistret Eliana Ismail.
“Suspek utama yang merupakan Timbalan Ketua Eksekutif dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2019. Suspek disyaki menerima sejumlah wang rasuah melalui akaun syarikat milik isterinya sebagai balasan kepada kelulusan kerja-kerja penyelenggaraan sungai di sebuah daerah di negeri Kedah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette