KUANTAN – Setakat ini, cadangan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan harga barangan keperluan asas di negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata, barangan seperti telur, minyak masak, gula dan ayam kekal stabil harganya kerana KPDN tidak terlibat secara langsung dalam urusan barangan import kerana ia di luar kawalannya.
Bagaimanapun pihaknya memberi jaminan tetap menjalankan pemantauan rapi terhadap harga barangan asas di pasaran tempatan seperti ditugaskan oleh kementeriannya.
“KPDN seperti biasa sentiasa memerhati, memantau harga barangan setiap hari. Pegawai penguat kuasa dan pegawai pemeriksa harga KPDN menjalankan pemantauan berterusan, khususnya terhadap barangan keperluan asas.
“Kita harus faham bahawa fokus utama KPDN adalah terhadap barangan keperluan seperti minyak, gula, telur, ayam dan sebagainya. Kalau barang-barang lain di luar bidang kuasa kita,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pejabat KPDN Pahang di Indera Mahkota hari ini.
Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara.
Selain itu negara berkenaan mengenakan duti import lebih tinggi dikenakan terhadap beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
Namun Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap pelaksanaan tarif itu kepada 75 negara termasuk Malaysia. – MalaysiaGazette