KUANTAN – Tiga lelaki cedera dan melecur dalam satu insiden kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal di Lorong Alor Akar 55, di sini malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9.24 malam membabitkan rumah yang dijadikan tempat berkumpul dan membaiki motosikal berkeluasan 20 x 70 kaki persegi.
“Sejurus menerima laporan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan bergegas ke lokasi, dibantu anggota dari BBP Indera Mahkota dan BBP Taman Tas.
“Setibanya di lokasi, kebakaran telah memusnahkan hampir 100 peratus struktur rumah serta memusnahkan 10 buah motosikal dan dua buah kenderaan iaitu sebuah Honda Stream dan sebuah Perodua Kancil,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kebakaran menyebabkan seorang mangsa melecur di tangan dan kaki, seorang lagi di bahagian badan, manakala seorang lagi melecur di kaki.
Kesemua mereka telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos salur bantu mula, satu aliran hos sepanjang 200 kaki, satu breeching dan dua nozzle.
“Balai bantuan turut membantu dengan aliran hos sepanjang 200 kaki daripada tangki air,” katanya.
Tambah Zulfadli, operasi berjaya dikawal pada jam 9.55 malam dan kerja-kerja penyelenggaraan sedang giat dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa api yang boleh mengundang risiko kebakaran semula.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette