Wanita warga asing yang dicekup dalam serbuan di dua pusat hiburan di di kawasan Medan Klang Lama 28, Jalan Klang Lama, semalam. Gambar: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Leka melayan nafsu lelaki hidung belang, sekumpulan wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan di dua pusat hiburan akhirnya dicekup Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di kawasan Medan Klang Lama 28, Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semasa serbuan dilakukan para pelayan wanita di pusat hibuan itu sedang melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

Dalam operasi yang bermula pukul 6 petang melibatkan 44 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu telah memeriksa 69 individu terdiri daripada lima lelaki dan 26 wanita warga asing termasuk 38 rakyat tempatan.

Hasilnya 31 orang yang terdiri daripada warganegara Thailand (14 orang), Bangladesh (2), Laos (7), Vietnam (7) dan Singapura (1) berumur di antara 23 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, salah guna permit dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zakaria lagi, serbuan dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan selama tiga hari terhadap pusat hiburan yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Tambahnya, pusat hiburan itu menjalankan modus operandi dengan membenarkan kehadiran pelayan wanita warga asing terbabit setiap kali aktiviti perniagaannya dibuka bermula pukul 3 petang hingga 2 pagi.

“Pelanggan yang berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan oleh wanita tersebut akan memberikan token berbentuk selempang.

“Selempang telah dikategorikan berdasarkan warna dan nombor bermula dari 100 hingga 5,000 akan disarungkan oleh pelanggan kepada wanita yang terpilih mengikut tahap layanan yang telah diberikan,” ujarnya.

Kini kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here