KUALA LUMPUR – Kesilapan mencetak Jalur Gemilang yang salah di muka hadapan sebuah akhbar nasional seperti Sin Chew Daily tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya perlu dikenakan tindakan tegas.
Malah menurut Exco Undang-Undang Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Nazri Yahya, kesilapan itu lebih serius berbanding yang dilakukan tiga penyampai radio Era FM baru-baru ini, yang telah digantung tugas dan majikan mereka, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikenakan kompaun RM250,000.
Apatah lagi, katanya yang juga peguam, sebagai sebuah institusi media yang telah bertapak lama di Malaysia, Sin Chew Daily mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk pandangan masyarakat khususnya masyarakat Cina di negara ini.
Sehubungan itu, tambahnya, MCCA menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 6 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) untuk membatalkan permit mencetak dan menerbitkan akhbar kepada Sin Chew Daily.
“Seksyen 6 (2) dengan jelas memberi kuasa penuh kepada Menteri untuk membatalkan atau menggantung sesuatu permit mencetak dan menerbitkan akhbar di Malaysia, selama suatu tempoh yang difikirkan wajar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Nazri, mencetak gambar Jalur Gemilang yang salah menunjukkan kelalaian dan kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku oleh organisasi media yang sudah berdekad lamanya beroperasi di bawah lesen penerbitan di negara ini.
Jelasnya, Sinchew Daily bukan akhbar baharu sebaliknya mempunyai pengalaman luas dan sistem editorial yang seharusnya cukup mantap untuk mengenal pasti dan menyemak bahan sebelum diterbitkan.
“Apatah lagi, ia melibatkan halaman muka depan – ruangan paling penting bagi mana-mana penerbitan.
“Atas dasar ini, tidak ada alasan yang wajar diterima untuk menyatakan bahawa kesalahan cetak itu adalah perkara yang tidak disengajakan,” katanya.
Akhbar Sin Chew Daily mencetuskan kontroversi selepas tersilap menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada akhbarnya Selasa lalu, sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kuala Lumpur.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, polis turut memulakan siasatan selepas menerima tiga laporan polis berhubung perkara tersebut.
Malah, kesilapan itu turut mendapat teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan negara yang tidak boleh dipersendakan. – MalaysiaGazette