Keadaan kenderaan yang dinaiki mangsa bersama tiga lagi rakan mengalami kerosakan di bahagian hadapan, belakang, dan cermin besar belakang pecah akibat terbabas dalam nahas kemalangan di Kilometer 147.4 di Lebuhraya Pantai Timur pada petang Rabu.

MARAN – Seorang konsultan maut dan tiga lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabit kemalangan akibat terbabas sendiri susulan hujan lebat di kilometer (KM) 147.4 Lebuhraya Pantai Timur di sini semalam.

Ketua Polis Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, mangsa Muhammad Hisyamuddin Abdul Samad, 54, duduk bahagian penumpang belakang kenderaan jenis Toyota Fortuner disahkan maut di lokasi nahas.

Akibat kemalangan terbabit, mangsa dikatakan tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan pukul  6.30 petang tadi.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kenderaan yang dipandu oleh lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Subang Jaya menghala ke Kuala Terengganu.

“Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, keadaan hujan lebat tiba-tiba kereta berkenaan telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan seterusnya kenderaan berpusing sehingga ke lorong kanan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Kg Awah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Manakala ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah dan di bawa oleh ambulans ke Hospital Temerloh dekat sini untuk rawatan lanjut.

Mayat mangsa dihantar ke unit forensik hospital yang sama bagi tujuan bedah siasat.

“Proses bedah sisat akan dijalankan esok pada jam 10 pagi,” tambahnya.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Had laju kebangsaan diseluruh Lebuhraya adalah 110 km/j. CCTV sepanjang lebuhraya hanya untuk pemantauan, tindakan dan penguatkuasaan BERKALA..

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here