PUTRAJAYA – Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan pecah amanah dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ditentukan Mahkamah Rayuan pada satu tarikh ditetapkan kelak.
Syed Saddiq berkata, sebagai seorang yang menghormati institusi kehakiman, beliau berharap panel tiga hakim berpuas hati dengan hujah-hujah yang dikemukakan barisan peguam yang mewakili dirinya.
“Sebagai salah seorang yang menghormati sistem perundangan negara, kita meletakkan kepercayaan kepada institusi kehakiman dan hakim-hakim yang tadi telah mendengar rayuan kami.
“Setakat ini Alhamdulillah semua berjalan dengan baik, saya terhutang budi kepada mereka di luar sana yang sentiasa memberikan doa dan sokongan yang tidak putus-putus sampai ada yang buat bacaan Yassin semalam secara dalam talian.
“Saya hanyalah salah seorang insan yang menuntut keadilan mahkamah untuk membersihkan nama saya dan memulihkan integriti saya,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan di sini menetapkan tarikh lain iaitu pada 24 April hadapan bagi pengurusan kes rayuan Ahli Parlimen Muar itu bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Armada.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkata, pihaknya perlu meneliti hujahan pihak pembelaan dan menetapkan 24 April ini sebagai tarikh pengurusan kes dan tarikh keputusan.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Kemudian ia disusuli hujahan pihak pembelaan diwakili Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta.
Antara hujahan pihak pembelaan ialah pengeluaran dana Armada berjumlah RM1 juta dibelanjakan bagi program-program kebajikan parti dan bukan untuk kepentingan peribadi.
Selain itu, bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat; bukti-bukti resit menunjukkan Syed Saddiq menggunakan duit miliknya sendiri daripada akaun ASB berjumlah RM170,000 iaitu melebihi sumbangan yang diperolehi RM120,000 daripada orang awam. – MalaysiaGazette