KUALA LUMPUR – Bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa terlibat dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Roger Ng Chong Hwa kemungkinan akan menjadi tampil sebagai saksi dalam perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sedang mendengar bicara 1MDB di Mahkamah Tinggi ketika ini.
Kamal bertanya kepada mahkamah bilakah tarikh yang membolehkan Roger Ng hadir ke mahkamah andai ada keperluan untuk menjadi saksi dalam prosiding ini.
Difahamkan saksi ini yang akan disapina bakal disoal balas oleh pasukan pembelaan Najib bagi kes dana 1MDB sedang dibicarakan ketika ini.
Terdahulu ketika prosiding, peguam yang mengetuai pasukan bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan menemuramah Roger Ng terlebih dahulu dan kemudian jika perlu akan memanggilnya sebagai saksi.
Kehadiran Roger Ng sebagai saksi dijangka menjadi antara detik penting dalam perbicaraan ini memandangkan peranan pentingnya dalam urus niaga melibatkan 1MDB ketika berkhidmat di Goldman Sachs.
Sebelum ini, Roger Ng sudah dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) selepas didapati bersalah membantu menyeleweng berbilion dolar daripada dana 1MDB.
Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa Roger Ng telah dihantar pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan lanjut berhubung skandal berprofil tinggi itu.
Kehadiran Ng di kandang saksi dijangka memberikan pencerahan lanjut terhadap peranan beberapa individu utama dalam penyelewengan dana 1MDB yang menjadi perhatian global.
Prosiding di hadapan Collin ketika ditangguh sehingga jam 12 sebelum bersambung semula.
Najib sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette