KUALA LUMPUR – Akhbar Sin Chew Daily menggantung tugas Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Penyunting Beritanya berikutan kesilapan mencetak ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap dalam akhbar itu baru-baru ini.
Menurut Malaysiakini, kedua-dua mereka dikenakan tindakan tatatertib serta-merta sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan.
“Pihak pengurusan Sin Chew Daily mengumumkan keputusan ini berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan selesai,” katanya.
Pada Selasa lalu, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi sebuah jong yang memaparkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke negara ini.
Bagaimanapun, akhbar berbahasa Cina itu memohon maaf atas kesilapan itu dan menerbitkan versi pembetulan dalam penerbitan keesokan harinya.
Kesilapan tersebut disifatkan sebagai ‘ralat teknikal’ oleh akhbar itu dan berjanji akan menjalan semakan menyeluruh serta menambah baik prosedur editorial. – MalaysiaGazette