PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengulas politik Amerika Syarikat (AS) Bill O’Reilly seorang yang ekstrem dan dangkal ilmu dengan mengeluarkan kenyataan bahawa warga Malaysia tidak mempunyai wang.
Perdana Menteri berkata, kenyataan O’Reilly itu menunjukkan bahawa individu berkenaan tidak mempunyai kefahaman mengenai ASEAN.
“Gambaran sikap ekstrem dan keangkuhan seorang (Bill O’Reilly) yang sebenarnya dangkal ilmu dan jahil. Mereka anggap hanya kelompok dia dan negeri dia sahaja yang paling berjaya.
“Tentunya dia tidak ada kefahaman sama sekali tentang Asia, tentang ASEAN serta tentang perkembangan baru,” katanya selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan O’Reilly yang memperlekehkan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke tiga negara ASEAN, Vietnam, Malaysia dan Kemboja.
Bekas hos Fox News itu menganggap ketiga-tiga negara terbabit tidak mempunyai kemampuan menyokong China daripada segi ekonomi dengan menyatakan penduduk Malaysia tidak mempunyai wang.
“Hai Presiden Xi, biar saya berterus terang. Mereka tiada duit langsung. Mereka tak boleh tolong kamu, mereka tak akan beli barang kamu sebab mereka tak ada duit,” kata O’Reilly dalam klip di aplikasi X.
Anwar menyifatkan kenyataan O’Reilly seperti seorang yang masih terperangkap dalam pemikiran imperialis serta penjajahan.
“Jadi kita jangan terlalu gusar kerana ini suatu perkara yang masih ada. Ini yang menyebabkan ada sikap xenofobia (kebencian terhadap orang asing) dan Islamofobia,” ujarnya. – MalaysiaGazette