KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup masuk lebih 4,000 anak pokok pelbagai jenis dari negara jiran digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menerusi dua serbuan berasingan di Pasir Mas, Kelantan semalam.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di Kampung Parit Air, Rantau Panjang melibatkan sebuah lori sarat dengan 2,500 anak pokok.
“Pemeriksaan lanjut mendapati anak pokok berkenaan berisiko membawa serangga perosak dan penyakit. Pemandu lori berusia 29 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan dan dipercayai cuba menyeludup tanaman tersebut dari Thailand,” katanya.
Tambah Nik Ros Azhan, nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sekitar RM525,000 dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Sementara itu, rampasan kedua dilakukan sekitar pukul 6.30 petang di Jalan Besar Rantau Panjang–Pasir Mas melibatkan sebuah lagi lori yang membawa 1,550 anak pokok.
“Keadaan pokok juga didapati berpotensi menyebarkan serangan perosak. Pemandu lori berusia 33 tahun turut gagal mengemukakan dokumen berkaitan dan dipercayai membawa masuk tanaman itu secara haram dari sempadan,” ujarnya.
Nilai sitaan untuk rampasan kedua dianggarkan RM382,000 termasuk lori terbabit.
Kedua-dua suspek bersama rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette