JOHOR BAHRU – Polis membuka siasatan berhubung satu hantaran jelik tular dalam platform media sosial kerana menghina Yang di-Pertuan Agong yang dipercayai menggunakan akaun Facebook palsu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun pada pukul 8.34 pagi semalam berhubung hantaran tersebut.

“Pengadu menafikan tentang hantaran jelik di laman sosial Facebook yang dipercayai akaun palsu menggunakan gambar dan nama pengadu iaitu Cayson Goh.
“Hantaran dalam tulisan Cina yang membawa maksud iaitu ketua negara kita yang terhormat tiba-tiba bertukar menjadi anjing liar di hadapan bos Cina, diam-diam berdiri di sebelah bos Cina. Melayu adalah Melayu.
“Jika mereka tidak dilatih, mereka tidak akan belajar dengan baik. Makan tulang.” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Katanya, pengadu menafikan akaun Facebook tersebut adalah miliknya dan percaya ada pihak lain yang telah menggunakan nama serta gambarnya tanpa pengetahuan atau kebenarannya.
Kes katanya, disiasat mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai orang lain dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Orang ramai digesa supaya tidak menyalahgunakan media sosial serta sentiasa menjaga sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) demi kesejahteraan negara,” ujarnya lagi.
Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam laman sosial miliknya pada Rabu.
Menurut beliau, tindakan individu tersebut mengeluarkan komen menghasut yang mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong merupakan satu perbuatan sangat melampau.
Seorang pengguna Facebook ‘Cayson Goh’ didakwa membuat hantaran menggunakan kata-kata kesat berhubung keberadaan Sultan Ibrahim dalam sambutan negara terhadap Presiden China, Xi Jinping, kelmarin.
Lelaki terbabit memuat naik tulisan itu dalam bahasa Cina dan terjemahan kata-kata terbabit didakwa mengandungi beberapa komen yang berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.
Terjemahan daripada kapsyen dalam Cayson Goh yang menghina Yang Di-Pertuan Agong; “Yang di-Pertuan Agong yang kita hormati, di hadapan pemimpin besar China, tiba-tiba berubah menjadi seekor anjing liar. Haha…duduk ternganga melihat ‘tuan’ duduk di atas takhtanya. Inilah orang Melayu – tidak dididik, tidak pandai ~ Nah, beri tulang kepada Agong ~ Hahaha.”- MalaysiaGazette
Dahulu hina YDPA secara sorok2, baling batu sembunyi tangan. Sekarang secara terang2an tanpa ada rasa hormat sedikit pun?
Harap polis cepat bertindak!