KUALA LUMPUR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam sedalam sembilan meter berhampiran kediamannya di Kampung Binjai, Labok di Machang, Kelantan petang semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, mangsa berusia 29 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya yang turut berada di lokasi kejadian sekitar pukul 6.30 petang.
“Mangsa dibawa ke Hospital Machang namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas. Susulan itu, bapanya membuat laporan polis pukul 10.16 malam hari sama,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Shafiki, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu. – MalaysiaGazette