KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ketegasan untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri itu yang telah berlarutan lebih empat dekad.
Baginda bertitah, sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan pelbagai tanaman seperti sawit, getah, durian serta hasil bumi lain.
Malah titah baginda, seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) turut menjadi mangsa pencerobohan atas alasan pertanian sedangkan hakikatnya merupakan perompakan terbuka terhadap khazanah negeri.
“Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lepas. Ia berlaku tanpa pengetahuan beta namun bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan.
“Kita tidak mahu terus dibelenggu bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahi kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan dukacita terhadap tindakan segelintir pihak yang menyokong perbuatan menceroboh tanah secara haram termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela undang-undang.
“Cukup memalukan, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri.
“Janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan yang salah dimuliakan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengumumkan tiada sebarang kelulusan baharu akan diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN) terhadap mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
Titah baginda, prinsip itu tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang dan menjaga amanah kepada negeri serta rakyat.
“Tambahan pula keadaan hari ini sangat membimbangkan apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.
“Beta ingin mengingatkan, perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan terhadap ketirisan hasil bumi negeri yang berlaku secara meluas termasuk dalam bentuk hasil batuan, pasir, bijih, emas, bauksit dan unsur nadir bumi (REE) yang dikeluarkan secara tidak sah.
Baginda menyeru agar pentadbiran negeri memperhebat usaha membanteras segala bentuk ketirisan dan penyelewengan sumber asli.
“Harta negeri ini adalah amanah yang wajib dijaga,” titah baginda.
Namun begitu, baginda berbangga apabila Tanah Rizab Melayu menunjukkan peningkatan iaitu daripada 218,326 hektar pada tahun 1955 kepada 444,074 hektar pada masa kini merangkumi 12.34 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri Pahang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pentadbir tanah jangan jadi boneka, khianat amanah – Sultan Pahang