KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi berpendirian tiada bukti yang menunjukkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin gagal mengurus dan menyekat penularan Covid-19 seperti yang didakwa seorang pendakwah bebas.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berpendapat, keupayaan Malaysia menangani wabak berkenaan di bawah kepimpinan beliau telah diiktiraf di seluruh dunia.
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh hasil keterangan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang dipanggil sebagai saksi plaintif kedua (PW2) pada perbicaraan kes saman Khairy terhadap Ustaz Abu Syafiq.
“Menurut PW2, Malaysia telah dipuji sebagai salah satu negara yang berjaya dalam hal mengurus, menangani dan membendung penyakit maut itu,” ujarnya.
Oleh yang demikian, mahkamah berpendirian, defendan dengan sengaja mengambil kenyataan plaintif di luar konteks dan jangka masa asal dan mengemukakannya dengan cara yang tidak benar serta mengelirukan untuk mencipta naratif palsu.
“Defendan tanpa rasa tanggungjawab menyerang peribadi plaintif dengan mencipta keraguan ketika rakyat Malaysia (meskipun tidak semua) berada dalam keadaan ketakutan yang tinggi.
“Rakyat berhadapan dengan virus baharu yang tidak pernah menyerang sebelum ini, kecuali mungkin dalam filem. Namun, ia bukan lagi sebuah filem yang direka secara kreatif untuk menghiburkan. Realitinya perkara ini telahpun berlaku.
“Covid-19 telah menyebabkan sejumlah besar kematian serta morbiditi di Malaysia pada ketika itu terutamanya dalam kalangan mereka yang dianggap berisiko tinggi,” ujar beliau.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah menyatakan demikian ketika memerintahkan pendakwah bebas itu membayar ganti rugi RM2.5 juta kerana memfitnah Khairy berkaitan isu Covid-19.
Beliau berpendapat, jumlah ganti rugi itu munasabah selepas mempertimbang kedudukan dan reputasi plaintif dalam dan luar negara serta sumbangan beliau kepada negara ketika situasi mencabar pandemik Covid-19.
Ketika membacakan alasan penghakimannya, beliau berpendapat, rakyat negara ini menghadapi krisis kesihatan serius tanpa diberi pendedahan untuk menanganinya.
Sebaliknya, ujar beliau, mereka menyerahkan nasib kepada Tuhan sambil meletakkan kepercayaan kepada Kerajaan Malaysia untuk mengemudi mereka keluar dari situasi yang membawa maut.
“Ketika itu tiada buku panduan atau manual yang tersedia, plaintif perlu membuat keputusan pantas berdasarkan bukti dan nasihat yang ada yang diberikan kepadanya oleh doktor, pegawai kesihatan awam dan penasihat perubatan dan saintifik.
“Semua perkara sedang dilaksanakan, apakah persepsi masyarakat terhadap plaintif selepas defendan membuat kenyataan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai?” soal beliau.
Khairy memfailkan saman fitnah terhadap pendakwah itu atau nama sebenarnya, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi pada 25 Januari 2022 dan mendakwa defendan memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2024 pada 6 dan 10 Januari 2022.
Plaintif mendakwa, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: