JAKARTA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia bermula esok hingga 22 April dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi tertinggi pertama dari Malaysia ke Indonesia pada tahun ini dan juga lawatan rasmi pertama beliau selepas pentadbiran baharu Indonesia dimulakan.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, Ahmad Zahid akan memulakan lawatan rasmi beliau dengan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysiadi Kedutaan Besar Malaysia di sini.
“Lawatan ini adalah susulan kepada lawatan Presiden Republik Indonesia ke Malaysia. Pada tahun ini sudah dua kali iaitu lawatan negara dan kemudian satu lawatan kerja untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia juga susulan kepada kerjasama-kerjasama yang telah kita persetujui dengan Indonesia sebelum-sebelum ini.
“Kita harap ini akan meningkatkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia,” kata Syed Mohamad Hasrin dalam sidang media sempena lawatan tersebut.
Sempena lawatan tiga hari ke Jakarta, Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden.
Dalam lawatan sama, tiga perjanjian persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pemerintah Provinsi Jakarta dan Sumatera Barat serta antara EMGS dan Pemerintah Provinsi Sumatera Barat yang akan berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Jakarta.
Selepas itu, Ahmad Zahid turut dijadual menghadiri majlis makan tengah hari bersama dua persatuan francais Indonesia di lokasi yang sama.
“Timbalan Perdana Menteri dijadualkan akan mengadakan lawatan ke Badan Nasional Penanggulan Bencana dan juga ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management atau dikenali AHA Centre.
“Satu taklimat akan diberikan oleh dua-dua organisasi tersebut. Seterusnya, beliau akan melawat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) untuk sesi taklimat mengenai pengurusan bencana,” jelas Syed Mohamad Hasrin.
Ahmad Zahid juga dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada hari terakhir siri lawatan tersebut.
Selepas bertemu Prabowo, beliau akan menyertai pelepasan konvoi ASEAN Unity Drive di Perkarangan Kedutaan Malaysia, di mana kereta elektrik Proton IMAS akan digunakan sebagai simbol usaha ke arah kelestarian dan keterhubungan ASEAN.
Selain itu, satu sesi meja bulan mengenai kerjasama industri halal antara Malaysia dan Indonesia akan berlangsung dengan memfokuskan kepada susulan Memorandum of Cooperation on Halal Industry yang dimeterai pada tahun 2023.
Lawatan rasmi ini menjadi platform penting dalam mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia, bukan sahaja dalam bidang ekonomi dan pendidikan, malah juga dalam pengurusan bencana, pembangunan luar bandar dan keterjaminan makanan.
Dalam lawatan tiga hari ini, Ahmad Zahid akan diiringi oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. – MalaysiaGazette