Gambar hiasan

BATU KAWAN – Remaja lelaki berusia 15 tahun yang terjatuh ke muara sungai ketika memukat bersama abang dan sepupu lelakinya di Jalan Batu Kawan di sini petang semalam, ditemukan lemas awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mayat G. Yagesh ditemukan terapung pada 5.45 pagi, kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

“Mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat yang melakukan rondaan dan pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Shoki berkata, operasi tersebut melibatkan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan dan turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Butterworth.

Beliau berkata, operasi dibahagikan kepada enam sektor pencarian menggunakan dua unit bot fiber diketuai komander operasi PPDA Butterworth bersama empat anggota selepas maklumat berhubung kejadian itu diterima pada 2 petang semalam.

“Bagaimanapun, keadaan arus deras dan jarak penglihatan yang terhad menyebabkan penyelam sukar melakukan pencarian secara menyeluruh dan operasi terpaksa dihentikan sementara pada 6.10 petang sebelum di sambung semula awal pagi ini,” katanya.

Menurut abang mangsa semalam, mereka bertiga datang ke sungai itu untuk memukat dan mangsa dikatakan telah menyelam ke dalam sungai bagi melepaskan jala yang tersangkut namun tidak timbul menyebabkan abangnya menghubungi pihak bomba. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here