JAKARTA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Jakarta, Indonesia hari ini bagi lawatan kerja tiga hari hingga 23 April ini.
Pesawat yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta Timur di sini jam 7 petang waktu tempatan, disambut Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. KH. Nasaruddin Umar.
Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin serta Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason.
Turut sama isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis.
Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming bagi membincang serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pertemuan itu juga menjurus kepada perbincangan yang dijangka menyentuh sektor industri halal, pembangunan luar bandar dan pengurusan bencana negara.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga akan merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang akan berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Lawatan rasmi ini menjadi platform bagi mempertingkat kerjasama dua hala, selain menangani cabaran serantau serta memperkukuh kolaborasi masa depan dengan kepentingan bersama.
Ahmad Zahid dijangka menyertai sesi meja bulat dan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil utama industri francais Indonesia.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri dijadual menyaksikan pertukaran tiga surat niat (LOI) yang merangkumi dua kerjasama TVET antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta), serta Kerajaan Provinsi Sumatera Barat.
Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat khusus dalam bidang pendidikan tinggi.
Indonesia adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan yang kedua terbesar dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN pada 2024.
Jumlah dagangan dua hala pada tahun 2024 direkodkan sebanyak RM116.29 bilion meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding RM111.21 bilion pada 2023. – MalaysiaGazette