KUALA LUMPUR – Perbicaraan dua kes berprofil tinggi yang akan disambung esok di Istana Kehakiman, Putrajaya dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, kembali menjadi sorotan umum.
Di Putrajaya, akan berlangsung pendengaran kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Di Petaling Jaya pula, Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan menyambung perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matin.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi diberitahu, keperluan untuk memanggil bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa sebagai saksi Najib, hanya akan diputuskan selepas pasukan pembelaan menemubual lelaki itu.
Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri bahawa pihaknya perlu menemubual saksi berkenaan terlebih dahulu.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar meminta mahkamah menetapkan tarikh khusus kehadiran Roger Ng ke mahkamah untuk memberi keterangan.
Roger Ng telah kembali ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan dan akan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi pertuduhan berkaitan skandal 1MDB.
Keterangan Roger Ng sangat signifikan hinggakan pasukan pembelaan mengemukakan sepina kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung siasatan polis terhadapnya.
Najib, 71, menghadapi 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Dalam perkembangan berlainan, perbicaraan Zayn Rayyan dijadual mendengar keterangan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat kes yang merupakan saksi pendakwaan ke-27 (SP27).
Keterangan pegawai penyiasat dalam perbicaraan jenayah kebiasaannya menjadi panduan akan berakhirnya kes pendakwaan diikuti oleh sesi penghujahan kedua-dua pihak pada tarikh yang akan ditetapkan.
Selepas mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah lazimnya akan menetapkan tarikh keputusan sama ada pasangan itu dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan.
Pada prosiding 9 April lalu, 10 rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) diputarkan di mahkamah antaranya memaparkan kelibat dipercayai Zayn Rayyan dalam longkang, saksi berlari dan rakaman ibu kanak-kanak autisme itu di sebuah pasar raya.
Dalam kes itu, ibu bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isteri, Ismanira Abdul Manaf, 30, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama antara jam 12 tengahari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – MalaysiaGazette