KUALA LUMPUR – Pengurusan Selangor mengesahkan kecederaan hidung yang dialami penyerang sayapnya, Faisal Halim tidak serius seperti disangka.
“Pemain sayap, Faisal Halim telah disahkan mengalami keretakan di bahagian tulang hidungnya dalam perlawanan penutup Liga Super 2024/25 semalam.
“Menurut doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), beliau mengalami fracture nasal bone with mucosa laceration dan akan dirawat secara konservatif serta mendapatkan pemeriksaan rapi dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, tiada kesan membahayakan untuk beliau beraksi di atas padang. Pihak pengurusan mendoakan agar Faisal Halim cepat sembuh. Terus kuat, Mickey!” kata kelab itu di media sosial di sini hari ini.
Perkembangan terkini itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada penyokong Selangor tetapi juga pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Ia kerana kehadiran Faisal bakal memberi pilihan kepadanya di bahagian sayap terutama menjelang aksi menentang Vietnam pada 10 Jun ini.
Pemain Harimau Malaya itu mengalami kecederaan tersebut dalam aksi terakhir Liga Super menentang PDRM FC malam tadi apabila dilanggar kapten The Cops, Faith Obilor pada minit ke-58.
Dia turut berkongsi imej sinar-X hidungnya akibat insiden tersebut menerusi satu hantaran di media sosial miliknya. – MalaysiaGazette